? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, September 17, 2010

KAEDAH MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA

Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan raya yang betul-betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. Ini merupakan satu keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, faktor-faktor kemalangan haruslah dikenalpasti supaya langkah-langkah yang wajar dapat diambil bagi menyedarkan pengguna mengenai perkara ini.
 
Tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan banyak berpunca daripada pengguna yang hilang kesusilaan ketika memandu.Komen yang sentiasa dapat kita dengar daripada pelancong  ialah negara kita mempunyai masyarakat yang bersopan santun kecuali ketika memandu. Antara contoh yang jelas ialah gelagat penunggang motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar, dan memotong dari sebelah kiri kenderaan. Perdana Menteri kita pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penunggang-penunggang motosikal tersebut mungkin menyangka bahawa mereka tidak akan menemui maut di jalan raya.
 
 
Di samping itu, terdapat juga segelintir pemandu yang ingin mendapatkan keseronokan atau “thrill” ketika memandu laju. Pemandu-pemandu seperti ini akan tidak melepaskan peluang untuk memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan bagi kawasan-kawasan tertentu. Malah, oleh sebab ingin memandu laju, mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang dianggap “biadab” di jalan raya iaitu tidak mematuhi arahan lampu isyarat seperti tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika lampu isyarat berwarna merah. Perkara-perkara yang dilakukan ini bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain juga akan turut terancam.
 
 
Kemalangan jalan raya telah dikenal pasti  sebagai pembunuh utama di negara kita. Menurut satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, sebanyak 20 hingga 30 orang pengguna jalan raya telah terkorban setiap hari. Angka ini akan bertambah ketika musim-musim perayaan ketika jalan raya dan lebuh raya dibanjiri dengan pelbagai jenis kenderaan. Menurut laporan tersebut juga, kebanyakan kemalangan berlaku akibat pemandu atau penunggang motosikal yang bersikap angkuh, cuai , dan terlalu ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing sehingga sanggup memandu secara kurang sopan. Sesungguhnya risiko yang diambil itu tidak setimpal dengan bencana yang diterima mereka.
 
 
 
 
“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan kita baru-baru ini. Selogan tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan untuk menginsafkan pengguna jalan raya yang memandu di jalan raya secara tidak sopan. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun kita berharap kempen yang dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka kematian yang amat membimbangkan itu.
 
 
Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan raya. Oleh itu, dendaan melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang kesusilaan di jalan raya.. Operasi seperti “ops pacak” yang dijalankan oleh pihak polis ketika musim perayaan baru-baru ini sepatutnya dijalankan secara berterusan kerana operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan kadar kemalangan yang sering berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.
 
 
Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat membuat agakan yang tepat dan sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang dipandunya akibat pemandangan yang kabur. Dalam hal ini, sekatan jalan raya sepatutnya diadakan secara berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mabuk selalunya berada di jalan raya ketika itu kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan yang lain. Pemeriksaan kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya dijalankan dengan lebih berhati-hati agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
 
 
Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu yang tidak bersopan, namun pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu itu sendiri merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan kemalangan. Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai kesedaran sivik. Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika di jalan raya itu akan menyebabkan keluarga mereka menanggung sensara. Bayangkanlah seorang anak yang kehilangan ibu bapa, isteri yang kehilangan suami, atau penderitaan akibat kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua itu tidak setimpal dengan keseronokan yang bersifat sementara akibat menurut hawa nafsu.
 
 
Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita sebagai negara yang mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak. Kita juga tidak mahu nama Malaysia dicatat sebagai negara yang mempunyai kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu langkah-langkah yang wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera. Sementara itu pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan cuba membaiki kelemahan mereka kerana saya yakin kita tidak mahu keluarga kita menunggu kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi keluarga anda yang tercinta!!

PUNCA PUNCA DAN CARA MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA

Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.
Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.
Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain.
Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.


Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya.
Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.


Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.